Monday, February 28, 2011

PROGRAM ANAKKU SAYANG BERSAMA IBU BAPA CALON UPSR 2011 MERIAH

YB Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman menyerahkan Butang Galakan 5A kepada calon UPSR

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi

dan Sumber Manusia, YB Tuan Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman

menyampaikan ucapan dan merasmikan Program Anakku Sayang

Bersama Ibu bapa Calon UPSR Tahun 2011.

Tumpukan perhatian kepada anak-anak..Antara ucapan yang disampaikan oleh YDP PIBG SKBT, Tuan Haji Ismail bin Nik merangkap Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal.

Ibu bapa bersama para pelajar mendengar ceramah sempena Program Anakku Sayang di dewan SKBT baru-baru ini.

Guru Besar SKBT Encik Mohd Zaidi Bin Yaakub menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.


Pasukan kompang daripada pelajar SKBT sempena menyambut ketibaan YB Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman baru-baru ini.

Guru-guru SKBT menjaga kaunter pendaftaran para pelajar Tahun 6.

BUKIT TUNGGAL: 24 Februari 2011- Program Anakku Sayang Bersama Ibu bapa calon UPSR tahun 2011 telah diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dengan kehadiran ramai ibu bapa dalam suasana penuh meriah. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia. Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, iaitu Y.Bhg Tuan Haji Ismail bin Nik.

Sebaik sahaja YB Tuan Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman tiba di perkarangan sekolah, majlis dimulakan dengan paluan kompang yang telah dipersembahkan oleh pelaja-pelajat tahun 4,5,dan 6. Turut mengiringi beliau ialah Guru Besar SKBT iaitu Haji Mohd Zaidi Bin Yaakub dan Guru Penyelaras UPSR iaitu Encik Johari bin Mohamed.

Dalam ucapan yang telah disampaikan oleh guru besar iaitu Encik Mohd Zaidi Bin Yaakub, beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran ibu bapa, YB Haji Ahmad Razif dan juga Tuan Haji Ismail bin Nik ke majlis tersebut. Beliau juga menggesa agar ibu bapa ambil cakna terhadap anak-anak yang bakal menduduki Peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Beliau juga telah memaklumkan bahawa Terengganu masih lagi unggul dalam Peperiksaan UPSR. Pada tahun ini, seramai 25 orang pelajar daripada 195 orang calon telah berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Manakala jumlah pelajar yang mendapat 4A pula adalah seramai 10 orang. Peratus peningkatan pelajar yang telah berjaya mendapat 5A adalah sebanyak 13.02%. Di samping itu, SKBT juga telah menduduki ranking ke-89 terbaik dalam UPSR daripada 745 sekolah yang mengambil peperiksaan tersebut di Negeri Terengganu.

Beliau juga berharap agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak agar aktif dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini kerana pelajar yang aktif dalam kokurikulum akan dapat mengelakkan diri mereka daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang bermoral. Pada masa yang sama, beliau juga telah memaklumkan bahawa pada tahun ini beliau mensasarkan peratus pelajar yang akan lulus dalam semua mata pelajaran adalah sebanyak 80%. Pada tahun ini juga, pihak sekolah akan mengadakan motivasi, kem-kem pelajaran, kelas tambahan,kelas malam dan juga kursus kem teknik menjawab soalan kepada pelajar-pelajar tahun 6.

Dalam ucapan yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Ismail bin Nik, beliau juga berharap agar ibu bapa lebih banyak menumpukan perhatian kepada pembelajaran anak-anak. Selain itu, beliau juga menggesa agar ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak supaya lebih banyak menumpukan perhatian dalam pendidikan. Beliau juga berpesan supaya ibu bapa sentiasa mengawal segala tindak-tanduk anak-anak sama ada mereka berada di rumah, sekolah dan juga ketika anak-anak bersama dengan kawan-kawan.

Di samping itu, beliau juga menasihati para pelajar agar menggunakan masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan mengelakkan daripada melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah.

Manakala dalam ucapan yang disampaikan oleh YB Ahmad Razif pula, beliau telah menyatakan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan RM35 Juta setahun kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dalam kemajuan pendidikan negeri. Kekuatan guru-guru di Terengganu dalam mendidik dan memastikan kejayaan pelajar tidak dapat ditandingi oleh mana-mana guru di negeri lain.

Baru-baru ini, YB Ahmad Razif telah memaklumkan bahawa Duta U.S.A telah datang ke Terengganu untuk melihat program pendidikan di negeri ini. Duta tersebut telah menyatakan bahawa pendidikan di Terengganu adalah merupakan pendidikan yang bertaraf anatarabangsa kerana satu-satunya negeri yang telah mengadakan “Virtual Class” dalam pembelajaran. Menjelang tahun 2015, kerajaan negeri juga telah mensasarkan agar setiap daerah akan mempunyai sebuah Sekolah Elit Imtiaz bagi menampung jumlah pelajar Terengganu yang cemerlang dalam pelajaran.

Beliau juga telah melahirkan perasaan bangga kerana Terengganu telah tiga tahun berturut-turut cemerlang dalam Peperiksaan PMR. Di samping itu, beliau juga berharap agar rakyat perlu mengekalkan kepimpinan negeri dan negara yang ada pada hari ini perlu dikekalkan untuk generasi akan datang. Pada masa yang sama, beliau juga menggesa agar para pelajar lebih tekun belajar untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang sekaligus dapat membantu kerajaan negeri dalam usaha untuk merealisasikan Program Kecemerlangan Pendidikan Komuniti (PKPK) dengan matlamat sasaran iaitu“201052” akan tercapai.


No comments:

Post a Comment

Majlis Kesyukuran & Solat Hajat di Masjid Seberang Takir

KUALA NERUS HARI INI 23.05.14 : Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Seberang Takir..Solat Maghrib, Solat Hajat, Bacaan Surah Yasi...