PERASMIAN BALAI RAYA DAN DIALOG RAKYAT
SEBERANG TAKIR – 26 MAC, penduduk di Kampung Tok Jembal memperolehi sebuah Balai Raya baru yang berharga RM200 ribu yang dibuka secara rasmi oleh ADUN Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman merangkap Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu pada jam 3.30 petang.
Berucap di hadapan 1000 orang yang hadir, Ahmad Razif berharap Balai Raya yang siap dibina ini dapat dijadikan sebagai pusat aktiviti dan digunakan secara optimum oleh penduduk kampung samada JKKK, golongan wanita dan golongan belia. Beliau juga merancang untuk membina gelanggang serba guna bersebelahan bangunan balai raya tersebut.
Sebelum Majlis Perasmian, Jamuan Rakyat turut diadakan kepada penduduk kampung terutama pengundi di Peti Undi Tok Jembal yang melibatkan lapan cawangan UMNO. Kerja-kerja persiapan masakan diserahkan sepenuhnya kepada pihak JKKK Tok Jembal selaku tuan rumah.
Selepas balai raya dirasmikan, disusuli acara dialog diantara penduduk kampung dengan ADUN, Pihak Jabatan Kerja Raya ( JKR ), Jabatan Parit dan Saliran ( JPS ) dan Syarikat Inai Kiara Sdn Bhd. Sessi dialog yang banyak berkisarkan tentang hakisan pantai telah diambil peluang sebaik mungkin oleh penduduk kampung untuk bertanyakan soalan dan mengetahui perancangan pihak jabatan yang terlibat.
Wakil penduduk, Mohd Lazin Abd Wahab, 35, berharap pihak yang bertanggungjawab menyegerakan kerja-kerja membaiki pantai supaya sumber pendapatan penduduk kampung sebagai nelayan tidak berterusan terjejas. Kegagalan pihak terbabit memulihkan pantai akan memberi kesan yang besar kepada pihak kerajaan Terengganu khususnya di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang, katanya lagi.
Segala permasalahan yang timbul sepanjang sesi dialog tersebut dapat diselesaikan secara baik oleh pihak ADUN, JKR, JPS dan INAI KIARA Sdn Bhd sebelum majlis berakhir pada jam 5 petang.
No comments:
Post a Comment