Wednesday, March 9, 2011


Merujuk kepada artikel yang ditulis oleh hamba Allah yang menggelarkan dirinya Ibni Gharib di dalam Blog Zakaria Dagang, Pengerusi MTD PAS Seberang Takir, pada 16 Februari 2011 antara lain bermaksud “Kekomangan” kerajaan yang memerintah Terengganu sekarang ini. Penulis kenyataan itu juga merasakan bahawa Standard ucapan YAB Datok Seri Ahmad Bin Said yang mentadbir negeri Terengganu terlalu rendah sehinggakan membandingkan dengan pelajar sekolah.

Beliau juga merendah-rendahkan kewibawaan YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman yang telah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Kalau diimbau sejarah, tidak hairanlah kenapa Zakaria Dagang, Pengerusi MTD Seberang Takir melahirkan ketidaksenangan hatinya dan nampaknya agak melenting apabila Ahmad Razif mengatakan bahawa PAS…Mementingkan Diri Sendiri di dalam Akbar Sinar Harian pada 15 Februari yang lalu.

Semenjak Dato’ Abdul Rashid Ngah menjadi Wakil Rakyat di Seberang Takir, Zakaria telah beberapa kali berlawan di dalam Pilihan Raya Umum di atas tiket PAS. Tidak pernah sekalipun lagi Zakaria memenangi pilihan raya di Seberang Takir. Begitu juga pada PRU 11, apabila UMNO/BN meletakkan Haji Shapian Ali sebagai calon. Zakaria turut kecundang. Oleh kerana selalu sangat kalah di dalam pilihan raya, pada PRU 12, PAS memberi laluan kepada PKR untuk bertanding melawan UMNO/BN di DUN Seberang Takir yang merekodkan majoriti 2430 undi berpihak kepada Hj Ahmad Razif Abd Rahman.

PAS sebenarnya tidak mahu mengakui bahawa kepimpinan UMNO/BN adalah jauh lebih baik dari mereka. Apa saja yang wakil-wakil rakyat UMNO/BN dan kerajaan lakukan, bagi mereka adalah tidak betul. Memesatkan pembangunan mereka kata membazir. Membanyakkan masjid dan surau mereka kata duit haram. Memberikan bantuan kepada rakyat mereka kata Rasuah. Pendekkata, segala usaha yang dilaksanakan kerajaan UMNO/BN adalah salah pada mereka. Sehinggakan merobohkan bangunan haram pun mereka kata merobohkan masjid. Logikkah akal kita yang waras ini mempercayai dakwaan PAS bahawa kerajaan yang membina Masjid meruntuhkan Masjid? Percayakah kita kerajaan yang membina beribu-ribu rumah PPRT, Perumahan Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat dituduh merobohkan rumah rakyat? Anggukkah kepala kita apabila kerajaan yang meluluskan bertimbun-timbun permohonan tanah rakyat difitnahnya merampas tanah rakyat?

Apa yang tidak kena pada pemikiran pemimpin-pemimpin PAS, saya pun tidak tahu. Sepatutnya, akal manusia yang mendakwa mereka lebih Islam dari UMNO ini lebih rasional. Sepatutnya juga, hidayah Allah lebih jelas kepada mereka ini kerana mereka mendakwa lebih dekat dengan Allah. Apa yang nyata, mereka nampaknya lebih terpesong akidah, tindakan dan pemikiran daripada orang-orang yang mereka kata Toghut.

Ingatkah kita pada PRU 12 yang lalu? Apa yang mereka lakukan kepada pengundi-pengundi luar yang balik mengundi ? Siapakah yang merampas Kad Pengenalan para pengundi luar ini? Siapakah yang membaling dan memecahkan cermin bas yang dinaiki para pengundi luar? Apa bezanya kaum yahudi di Israel dan Palestin dengan mereka ini?

Semasa PAS memerintah sepenggal ( 1999 -2004 ), mereka menghapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud. Maka beraraklah pakcik-pakcik bermotorsikal dan basikal seluruh kampung dan kawasan menyebarkan bahawa PAS telah hapuskan tol. Sedarkah mereka ini bahawa laluan motorsikal dan basikal di atas Jambatan tersebut tidak dikenakan tol? Tahukah mereka bahawa kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit setahun akibat tiada pendapatan daripada tol?

Mereka bersorak kononnya PAS telah menghapuskan kezaliman kepada rakyat tinggalan kerajaan BN yang memerintah sebelum itu. Walhal, selain memberi kerugian kepada pendapatan negeri ianya juga memberikan kemewahan dan kekayaan kepada tauke-tauke kenderaan pengangkutan yang dimonopolikan oleh kaum lain yang bukan beragama Islam. Ribuan ringgit yang sebelum ini telah diperuntukkan untuk membayar tol dapat diselamatkan. Jadi, apakah itu menguntungkan rakyat PAS?

Tidak habis di situ, rakyat ditipu bahawa PAS telah menghapuskan cukai pintu di Terengganu. Tahukah manusia-manusia yang fanatik kepada PAS ini ke mana duit cukai pintu dibelanjakan? Penyelenggaraan sampah, bayaran lebih masa pekerja majlis perbandaran dan pelbagai lagi dapat dibiayai apabila cukai pintu dikutip. Setelah ianya tidak dikutip, rakyat Terengganu boleh membandingkan tahap kebersihan terutamanya kawasan bandar. Sehingga artikel ini ditulis, masih tidak terekod dimahkamah dan penjara bahawa terdapat dakwaan kesalahan tidak membayar cukai pintu. Cukai ini tidak diwajibkan kepada rakyat yang berpendapatan rendah ataupun miskin. Jadi, apa masalahnya?

Hari ini, segala fakta yang benar dikatakan menyeleweng oleh pemimpin pembangkang. Segala yang benar dikatanya palsu. Hinggakan parti mereka yang dikeluarkan dalam BN kerana pemimpin-pemimpin mereka salah guna kuasa, mereka katakan fakta tersebut juga palsu. Lagi menghairankan, hingga kini fail yang mereka kata ingin bongkarkan tentang penyelewengan royalti minyak dan perbelanjaan kerajaan BN semasa mula-mula memerintah Terengganu era 1999 masih belum dibongkarkan. Adakah ini juga palsu?

Rakyat Terengganu bukan macam dulu. Rakyat boleh ditipu sekali tetapi tidak akan ditipu berulangkali kecuali mereka yang tidak dapat memandang, mendengar dan merasakan apa yang telah dan akan BN laksanakan.

PAS mendakwa bahawa mereka lebih Islam daripada UMNO/BN tetapi semasa memerintah Terengganu dulu, berapa buahkah Masjid dan surau yang mereka bina? Berapa buah rumah orang misin yang mereka bina? Berapa buah kilang yang mereka bangunkan? Berapa banyak pelabur asing yang melabur di Terengganu? Berapa ribu peluang pekerjaan yang mereka wujudkan? Berapa batang jalan raya yang mereka bina? Bahkan, berapa helai sejadah mereka bekalkan ke setiap masjid?

Kalaulah tiada apa yang mereka lakukan untuk rakyat, tiada apa Syiar Islam yang mereka kembangkan, parti mana sebenarnya yang lebih Islamik? Parti mana yang lebih menjaga kebajikan rakyat? Parti mana yang terbaik buat rakyat? Sudah pastilah UMNO dan Barisan Nasional.

2 comments:

  1. Bukan kah sejak zaman Rashid Ngah, Umno hanya menang kerana undi pos?? bukan rakyat Seberang Takir yang memilih!

    ReplyDelete
  2. Setahu saya, Zakaria Dagang baru dua kali bertanding di Seberang Takir; sekali lawan Dato' Abd Rashid Ngah dan sekali lawan Mohd Shapian Ali. Beliau kalah pun kerana undi pos. Tak kan tak ingat.

    ReplyDelete

Majlis Kesyukuran & Solat Hajat di Masjid Seberang Takir

KUALA NERUS HARI INI 23.05.14 : Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Seberang Takir..Solat Maghrib, Solat Hajat, Bacaan Surah Yasi...